Posted on

Memertabat bahasa Melayu, memperkayakan kebolehan berbahasa Inggeris

Terlalu banyak kita dengar perbahasan atau soksek-soksek mengenai perkara di atas. Kadang-kadang terasa jelek mendengarnya. Suatu perkara yang sangat kecil untuk disensasikan. Lebih buruk apabila ia menjadi bahan berpolitik. Identiti rakyat Malaysia sememangnya seorang yang boleh berbahasa Melayu dengan baik. Seorang Melayu yang dilahirkan dalam keluarga Melayu tidak mahu tidak akan menggunakan bahasa yang digunakan di rumah. Walaupun ada kalangan yang suka berbicara menggunakan bahasa Inggeris.

Kepada orang berketurunan Cina dan India atau Sikh akan mengamalkan penggunaan bahasa ibunda mereka tetapi sangat ramai diantara mereka fasih berbahasa Melayu kerana mereka akur bahawa bahasa Melayu adalah satu bahasa yang mereka akan sentiasa dengar atau baca kerana rata-rata bahasa Melayu banyak digunakan di pelbagai bentuk media. Ketika di luar negara, orang Malaysia lazimnya lebih suka berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa Melayu dan ada yang mengikut dialek negeri dari bahasa Inggeris kerana ia merupakan suatu kelebihan kepada mereka. Pernah juga beberapa kali ketika di Amerika, rakan-rakan di sana mencemburui kita kerana sekurang-kurangnya boleh berbahasa Melayu selain dari bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris tidak dapat tidak adalah satu bahasa di mana terlalu banyak ilmu dan informasi yang ditulis menggunakannya. Suka atau tidak kita mesti terima hakikat ini. Malahan jika direnung, di India contohnya, bahasa Inggeris digunapakai untuk menjual ilmu ayurveda dan yoga mereka. Tidak kurang juga perkara yang sama dilakukan oleh orang-orang Cina dalam memperkasakan ilmu mereka. Ketika di Iran, saya dapati generasi muda berebut-rebut ingin belajar bahasa Inggeris ini walaupun mereka sangat gah dengan bahasa Farsi mereka. Mereka sanggup membeli apa saja bahan bacaan walaupun cetakan tahun 60an asal mereka dapat mempelajari bahasa itu. Dengan kebangkitan dunia maya yang tidak bersempadan, begitu banyak ilmu dan informasi yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Mempelajari dan mahir dalam bahasa Inggeris tidak sekali bermakna kita mengagungkan Inggeris. Ia hanyalah merupakan sesuatu ilmu yang sangat praktikal untuk kemajuan kita sendiri. Suatu waktu dulu kita ketahui bahawa antara sebab pelabur asing berminat membangun perusahaan mereka di Malaysia adalah disebabkan oleh kebolehan pekerja kita memahami bahasa Inggeris. Singapura sendiri merupakan negara yang sangat maju kerana sistem pelajaran mereka yang menggunakan bahasa Inggeris. Rata-rata rakyat Singapura tidak kira apa peringkat pekerjaan mereka sangat fasih berbahasa Inggeris. Lihat sahaja pemain bolasepak mereka, begitu selesa berkomunikasi dalam bahasa itu. Kita lihat saja lah bahasa muzik. Walaupun rata-rata ia adalah bahasa Itali, tetapi ia banyak diajar dalam bahasa Inggeris.

Apakah kita akan kehilangan identiti jika kita lebih fasih berbahasa Inggeris dari bahasa ibunda kita sendiri? Ia sangat terpulang kepada individu. Dalam keluarga saya walaupun arwah abah selalu menekan penggunaan bahasa Inggeris tetapi di rumah kami akan berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Apa yang nyata, kebolehan berbahasa Inggeris memudahkan kami mendapat kerja di syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa yang lazimnya membayar gaji dengan lebih lumayan. Kenaikan pangkat juga adalah lebih mudah jika ketua jabatan mahu orang yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Banyak kali juga orang yang berkebolehan berbahasa Inggeris lebih mendapat perhatian untuk mendapat tawaran pekerjaan berbanding dengan yang tidak mampu berbahasa Inggeris walaupun mempunyai kelulusan yang tinggi. Pernah juga beberapa kali ketika saya menemuduga pekerja saya dapati ramai yang berkelulusan dari universiti tempatan tidak pandai berbahasa Inggeris walaupun mereka mempunyai ijazah yang baik kelulusannya.

Saya lihat kadangkala penggiat bahasa dan budaya sangat lokek atau ego mempertahan bahasa Melayu walaupun rata-rata mereka tahu bahawa bahasa Inggeris itu sangat penting untuk menimba ilmu, memperoleh pekerjaan yang baik mahupun memperdagang ilmu dan kemahiran. Mereka juga berkata bahawa banyak buku diterjemah kedalam bahasa Melayu. Tahukan kita, buku-buku ilmu yang ditulis dalam bahasa Inggeris sering diperbaiki dan ditambah nilai ilmunya. Jika kita tidak prihatin atau menanti jilid baru itu diterjemah kita akan ketinggalan.

Orang politik juga dilihat tidak bertanggung jawab menggunakan isu remeh ini untuk menjadi popular. Yang rugi pastinya rakyat keseluruhannya yang diperjudikan masa depan mereka dengan arahan flip-flop orang yang berpolitik. Kita adalah negara kerdil yang bergantung kepada ilmu untuk maju. Kita juga negara kerdil yang bertumpu kepada kebolehan mengekspot barangan, kebolehan dan ilmu untuk membawa masuk aliran wang asing kedalam negara kita. Kalau kita tidak pandai berbahasa Inggeris, boleh kah kita dapat menikmati kejayaan itu. Dan bila pelabur luar datang kesini, mereka mempunyai banyak alasan untuk membawa orang mereka menjawat jawatan tinggi dengan alasan pekerja Malaysia tidak mampu berbahasa Inggeris untuk menjawab apa sahaja kehendak pemegang saham mereka yang pastinya majority bangsa mereka. Oleh itu perkara-perkara mikro sebegini harus diteliti sedalam-dalamnya sebelum membuat ketentuan yang kononnya bijaksana.

Marilah kita semua membuka mata dan minda supaya impian kita untuk mencapai taraf sebagai negara maju dapat disempurnakan. Kita perlu memperkasa ilmu dan kebolehan kita dengan cepat dan efektif untuk terus kedepan. Jiran-jiran kita yang mana kos buruhnya jauh lebih murah dan masih banyak sumber ekonomi asli mereka melihat kelebihan ini dan mengambil inisiatif memperbaiki penawaran buruh murah mereka dengan pendekatan strategik ini. Jika kita leka dan “syok sendiri”, barangkali kita sendiri akan berputih mata.

Generasi akan datang pasti akan menyalahi generasi terdahulu mereka kerana gagal melihat jauh. Apakah kita mahu gah dengan tepuk dada tanya selera? Ia tentunya bukan itu yang kita mahu. Objektif yang hendak dicapai di masa hadapan mesti dimulakan sekarang. Berhentilah bersengketa dengan perkara yang membolehkan kita hidup melata. Cukuplah menjadi katak yang hanya bising didalam tempurungnya sendiri.

Salaman salamu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s